Maulidur Rasul: Cara Mudah Buktikan Cinta

Sungguh mulia keimanan umatku kelak,
Mereka belum bertemu denganku
Tapi mereka sangat mencintaiku dan menahan rindu untuk bertemu. -h.k.-

12 Rabiul Awal merupakan satu tarikh yang bermakna bagi setiap umat Islam. Tarikh istimewa di mana dengan penuh cinta dan rindu kita menyambut hari keputeraan baginda Nabi Muhammad s.a.w; penutup para nabi dan tidak ada nabi sesudah baginda s.a.w Seorang insan yang paling layak dijadikan sebagai idola atau role model dalam diri setap individu. Juga merupakan satu susuk tubuh yang diutuskan sebagai pembawa rahmat kepada seluruh alam sepertimana firman Allah s.w.t:
Tidaklah Kami mengutusmu, melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam (Al-Anbiya: 107)

Namun, sejauhmanakah cinta dan rindu itu menjadikan kita berusaha untuk mencontohi baginda Rasulullah s.a.w.? Kerana, sudah pasti semua cinta perlukan bukti.

“Salah seorang di antara kalian tidak akan beriman sampai aku lebih dia cintai daripada anaknya, orang tuanya bahkan seluruh manusia.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Antara bukti cinta kita pada Baginda s.a.w adalah dengan ittiba’ (mengikuti), taat dan berpegang teguh pada petunjuknya. Cara yang paling mudah adalah dengan menghidupkan sunnah-sunnah baginda dalam kehidupan seharian kita. Terdapat begitu banyak sunnah yang boleh diamalkan dan antara yang sering diingatkan kepada kita adalah:

1. Solat Tahajjud
2. Baca Al-Quran beserta terjemahannya
3. Memakmurkan masjid
4. Solat Dhuha
5. Bersedekah

Namun, terdapat juga sunnah-sunnah lain (sunnah yang digalakkan) yang seringkali dilupakan. Mungkin dianggap kecil namun sebenarnya secara tidak sedar kita juga selalu melakukannya dalam kehidupan seharian kita. Sudah pasti lebih indah jika amalan itu disertakan dengan niat untuk mengikuti sunnah baginda s.a.w. Antara sunnah tersebut adalah seperti:

1. Membaca Basmalah ketika melakukan sesuatu perkara
2. Memotong kuku pada hari Jumaat
3. Mendahulukan yang kanan
4. Menebarkan senyuman
5. Menutup mulut ketika menguap
6. Membaca doa ketika hujan turun
7. Menghisap jari selepas makan(sunnah 3 jari)
8. Mendoakan orang yang bersin
9. Solat witir
10. Mengambil wudhuk ketika marah

Sebenarnya terdapat banyak lagi sunnah baginda Rasulullah s.a.w yang digalakkan dan tidak akan pernah cukup helaian kertas sekiranya mahu ditulis kesemua sunnah tersebut. Sekiranya diperhatikan, manual seluruh kehidupan ini sudah pun ditunjukkan contohnya oleh baginda s.a.w. Tinggal kita untuk cuba mencontohi dan mengamalkannnya.

Oleh itu, sudah tiba masanya kita memanifestasikan cinta kita dengan menghiasi kehidupan dengan sunnah-sunnah baginda s.a.w. Persoalannya; Bagaimana mahu mula? Berikut merupakan 3 langkah mudah yang boleh kita cuba.

1. Mulakan hari ini
2. Mulakan dengan sedikit
a. Letak sasaran 1 sunnah seminggu (dan semakin bertambah)
3. Mulakan dengan diri kita sendiri

Sebaiknya kita perlu tambahkan sasaran ini dalam azam tahunan kita agar kita lebih termotivasi dan istiqamah melakukannya.

Akhirulkalam, semoga Maulidur Rasul kali ini kita sambut dengan penuh makna dan cinta kepada baginda Rasulullah s.a.w. Serta marilah kita bersama-sama berusaha menjunjung dan mengamalkan sunnah-sunnah baginda Rasulullah s.a.w dalam kehidupan seharian kita. Bukti cinta kepada insan yang perrtama-tama mencintai kita.

“Sungguh telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu iaitu bagi orang yang mengharapkan rahmat Allah dan kedatangan hari kiamat dan yang banyak mengingat Allah.” (Surah al-Ahzab: 21)

Salam Maulidur Rasul bagi seluruh rakyat Malaysia!
اَللهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *