Wanita Insan Istimewa – Ustazah Norhafizah Musa

SHAH ALAM, 18 November 2017 – Pendakwah tersohor, Ustazah Norhafizah Musa antara jemputan Kongres Wanita Sejahtera hari ini.

Beliau memulakan ucapan dengan membaca sepotong ayat dari Surah Al-Ahzab ayat 32:

‎يَا نِسَاءَ النَّبِيِّ لَسْتُنَّ كَأَحَدٍ مِنَ النِّسَاءِ ۚ إِنِ اتَّقَيْتُنَّ فَلَا تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ فَيَطْمَعَ الَّذِي فِي قَلْبِهِ مَرَضٌ وَقُلْنَ قَوْلًا مَعْرُوفًا

Terjemahan:

“Hai isteri-isteri Nabi, kamu sekalian tidaklah seperti wanita yang lain, jika kamu bertakwa. Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya dan ucapkanlah perkataan yang baik.”

Seterusnya, beliau menarik tumpuan penonton dengan mengajak semua kaum wanita menjadi insan istimewa dan berbeza dari wanita kebiasaannya mengikut acuan sebenar agama.

“Kita wanita patut ada sifat berbeza dari wanita lain. Kita perlu bertaqwa, sentiasa menjadikan Al-Quran sebagai panduan hidup dan sentiasa mendasarkan landasan taqwa sebagai gaya hidup yang penuh barakah.

“Jadilah wanita yang berbeza dalam konteks dan acuan Islam yang penuh syumul. Sentiasa menerapkan amalan sunnah dan Islam secara total dalam kehidupan.

“Jadikan wanita yang unggul, anggun dan istimewa yakni bersendikan iman dan taqwa di dalam hati,” katanya penuh semangat.

Ustazah Norhafizah dalam masa sama berkata, kau wanita mestilah menjadikan taqwa sebagai indikator bagi setiap gerak perilaku, pemikiran, akhlak dan pekerti yang terpuji.

Hal itu katanya agar mampu menjadi wanita yang cukup bernilai dan bakal menjadi bidadari syurga.

Katanya, personaliti dan penampilan wanita perlu sentiasa dijaga  agar golongan wanita ini dapat memberikan impak kepada generasi yang akan datang.

Rata-rata peserta kongres tersentuh dengan perkongsian ustazah di Kongres Wanita Sejahtera.

Meneruskan pengisian, Ustazah Norhafizah turut menekankan mengenai ancaman pemikiran terpesong yang semakin berleluasa hari ini.

“Ancaman daripada liberalisme, sekularisme serta bahana media sosial yang bejat kini perlu dibendung dan diawasi agar kita tidak terbabas dan tergelincir daripada landasan ke lembah maksiat dan tersasar dari Islam,” tegasnya.

Di akhir bicara, Ustazah menitipkan 10 peribadi muslim unggul antaranya akidah yang sejahtera, ibadah yang sahih, akhlak yang mantap, mampu bekerja, berpengetahuan luas, tersusun terancang dan sebagainya. Wanita seharusnya menjadikan 10 pesanan Imam Hassan al Banna ini sebagai peribadi pembinaan muslim yang unggul lagi hebat sebagai peta kehidupan.

Like & Share Laman MyHawa

https://www.facebook.com/MyHawa.Malaysia/

#kongreswanitasejahtera
#KWS2017
#wanita

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *